Akademi Latihan Islam Darul Aman (ALIM) bermula pada tahun 2021 sebagai Program TVET Pengurusan Masjid yang dirangka oleh Bahagian Pendidikan, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK). Program ini diwujudkan sebagai satu inisiatif untuk membekalkan kemahiran pengurusan masjid secara profesional kepada pelajar lepasan maahad tahfiz di negeri Kedah, selaras dengan keperluan melahirkan tenaga mahir yang berkemahiran dan berdaya saing dalam bidang pengurusan institusi masjid.
Seiring dengan perkembangan program dan keperluan latihan yang lebih tersusun, Akademi Latihan Islam Darul Aman (ALIM) telah ditubuhkan secara rasmi pada 2 Mei 2023 bersamaan 11 Syawal 1444H. Pada peringkat awal penubuhannya, ALIM beroperasi di SMA As‑Siddiqiah, Naka, Kedah sebagai pusat latihan bagi melaksanakan program yang telah dirancang. Kini, ALIM beroperasi di SMA Maahad Akademi Islam Kedah, Kubang Sepat.
ALIM mempunyai seramai lima orang tenaga pengajar dan telah ditauliahkan sebagai Pusat Latihan Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran. Melalui pengiktirafan ini, ALIM menawarkan Program Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3 dalam bidang Pengurusan Masjid yang dilaksanakan secara sistematik dan memenuhi standard latihan kemahiran kebangsaan.
Bagi memastikan latihan yang menyeluruh dan berkesan, ALIM telah menjalinkan kerjasama dengan Masjid Negeri Masjid Zahir dan Masjid Ar‑Raudhah Sungai Durian sebagai rakan industri. Melalui pendekatan Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN), perantis menjalani 30 peratus pembelajaran teori di pusat latihan dan 70 peratus latihan amali di industri. Program ini merangkumi latihan dalam hafazan Al‑Quran, feqah, asas teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), pengurusan kewangan, pengurusan pejabat serta kebersihan dan keceriaan masjid.
Melalui pelaksanaan program ini, perantis yang berjaya menamatkan latihan akan dianugerahkan Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 3 oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran. Penubuhan dan perkembangan ALIM mencerminkan komitmen berterusan dalam melahirkan tenaga mahir yang berkompeten, profesional dan berintegriti dalam bidang pengurusan masjid, khususnya di negeri Kedah dan Malaysia amnya.